05 Oktober 2009

KESULTANAN JOHOR (RAJA JOHOR KE-22)


Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail, D.K.
SULTAN JOHOR
Almutawakil Alallah, Sultan Iskandar Ibni AlMarhum Sultan Ismail,D.K., diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru oleh Paduka bonda baginda, Almarhum Sultanah Aminah binti Almarhum Ungku Ahmad. Baginda telah dimasyurkan menaiki takhta kerajaan negeri Johor pada 11 Mei 1981.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran di English College (sekarang dikenali Maktab Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru. Baginda seterusnya melanjutkan pelajaran di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.
Setelah menamatkan pengajian, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service. Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981. Pada 11 Mei 1981, baginda telah dimasyurkan sebagai Sultan Johor selepas kemangkatan ayahanda baginda.
Sebagai seorang Raja yang berdaulat, baginda Sultan sentiasa rapat serta mendampingi segenap lapisan masyarakat terutamanya apabila baginda mendapat tahu rakyat baginda ditimpa bencana alam atau seumpamanya.
Sebagai Ketua Agama Negeri, baginda sentiasa mengadakan hubungan yang kerap dengan Majlis Agama Negeri atau dengan pentadbiran Jabatan yang berkenaan melalui pegawai-pegawai tingginya seperti Yang di-Pertua Jabatan Agama, Pengerusi Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama Islam atau Mufti Negeri. Dengan yang demikian, baginda sentiasa mendapat maklumbalas dari pihak kerajaan di atas segala perkembangan, masalah dan tindakan yang dilakukan.
Dalam mengisi lapang, baginda Sultan gemar bermain polo, papan layar (boardsailing) iaitu tongkah - salah satu sukan yang sangat-sangat diminati baginda. Pada tahun 1982, baginda telah perkenan permainan tersebut dijadikan salah satu acara dalam Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda dan terus dijadikan Kejohanan Antarabangsa yang telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari negara-negara seperti Thailand, Australia, France, Germany, Holland, Hawaii, Hong Kong dan negara-negara lain.
Selain dari itu, baginda Sultan juga gemar memandu helikopter serta kapal. Baginda memiliki beberapa buah helikopter dan sebuah kapal. Baginda kerap memandu kapal itu menjelajah pantai Negeri Johor dari timur ke barat yang merupakan pantai yang terpanjang sekali di Semenanjung Malaysia.
Ketika muda, baginda juga memiliki kegemaran seperti menunggang kuda, memandu kereta jenis laju, go-kart, bot laju, memburu, tenis, golf, tinju, berenang dan beberapa jenis sukan seperti polo yang juga merupakan permainan yang sangat digemari baginda sehingga sekarang.
Baginda pernah memenangi perlumbaan kereta "Johor Grand Prix' yang julung-julung kali diadakan dalam tahun 60an di Johor Bahru.
Baginda juga pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces), satu-satunya pasukan askar yang ulung di Malaysia yang telah diasas dan ditubuhkan oleh Paduka moyang baginda - Almarhum Sultan Abu Bakar dalam tahun 1885. Sekarang baginda memegang jawatan Komandan Johore Military Forces.
Baginda juga seorang yang bersikap tegas dalam melaksanakan apa jua tugas yang diamanahkan kepada baginda. Dalam pada bersifat tegas, baginda juga mempunyai sikap yang lembut serta bertimbang rasa.
Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 5 April 1982 menggantikan Almarhum Paduka ayahanda baginda selaku Canselor yang pertama semenjak Universiti tersebut diwujudkan.
Baginda Sultan telah bernikah dengan baginda Sultanah Hajah Zanariah binti Tengku Ahmad dan telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala dengan 10 orang anakanda - dua orang putera dan lapan orang puteri.
Persidangan Majlis Raja-Raja Malaysia Yang Ke-129 telah berkenan memilih baginda Sultan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII, yang berkuatkuasa mulai dari 26 April 1984 bersamaan 24 Rejab 1404 dan ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984 hingga 25 April 1989.

29 September 2009

KESULTANAN JOHOR (RAJA JOHOR KE-21)


Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Baginda adalah putera sulung kepada Almarhum Sultan Sir Ibrahim dan Almarhumah Ungku Maimunah bte Ungku Abdul Majid. Baginda telah berkahwin dengan Ungku Aminah bte Ungku Ahmad pada 30 Ogos 1920. Baginda telah dilantik menjadi Sultan pada 8 Mei 1959 dan ditabalkan di Istana Besar, Johor Bahru pada 10 Februari 1960. Baginda sangat mengambil berat hal-hal kebajikan rakyat dan langkah-langkah bagi memperbaiki serta meningkatkan lagi taraf hidup rakyat negeri Johor. Dalam bulan April 1981, baginda mula gering dan baginda mangkat di Hospital Besar, Johor Bahru pada 10 Mei 1981. Jenazah Almarhum telah dimakamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru.

KESULTANAN JOHOR (RAJA JOHOR KE-20)


Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar telah diputerakan pada 17 September 1873 di Bukit Bidadari, Serangoon, Singapura. Baginda berpendidikan Inggeris dan semenjak kecil lagi diberi penuh perhatian sebagai bakal Sultan.
Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Maimunah binti Ungku Abdul Majid pada 5 Oktober 1892 ketika berumur 20 tahun. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan bergelar Sultan Sir Ibrahim pada 7 September 1895 di Balai Zaharah, Johor Bahru.
Dalam masa 40 tahun baginda memerintah Johor, banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku di Johor dan negeri Johor juga dikenali di serata dunia.
Baginda mangkat di London pada hari Jumaat 8 Mei 1959 dan dimakamkan di Makam Mahmoodiah Johor Bahru pada 6 Julai 1959.

KESULTANAN JOHOR (RAJA JOHOR KE-19)


Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 adalah putera Temenggung Seri Maharaja Johor Daeng Ibrahim. Baginda telah memakai gelaran Maharaja pada tahun 1868. Baginda di anggap sebagai pelopor permodenan Johor.
Semasa pemerintahan baginda, sistem pentadbiran Johor telah dimajukan dan Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran telah diubah namanya kepada Johor Bahru pada 1 Januari 1866. Baginda telah menjadikan negeri Johor terus maju dan berkembang dalam bidang ekonomi politik dan sosial.
Baginda mangkat di England pada 10 Mei 1895. Jenazahnya telah dibawa pulang ke Johor dan dimakamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru pada 7 September 1895.

KESULTANAN JOHOR (RAJA JOHOR KE-18)


Almarhum Baginda Yang Amat Mulia Tengku Daeng Ibrahim yang dikenali juga sebagai Daeng Ronggek, Daeng Kechil dan Tengku Chik adalah anak kedua Temenggung Abdul Rahman. Baginda telah dilantik secara rasmi oleh Bendahara Tun Ali dari Pahang sebagai Dato' Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja Johor pada 19 Ogos 1841. Melalui Persetiaan 10 Mac 1855 dengan Tengku Ali, baginda telah mendapat kuasa mutlak sebagai pemerintah de facto dan de jure. Mulai dari tarikh inilah sejarah pengasasan Johor Moden bermula dalam bidang-bidang pentadbiran, politik, ekonomi dan sosial serta membentuk dinasti baru Kesultanan Johor. Temenggung Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan baginda telah dimakamkan di Makam Diraja Teluk Belanga, Singapura.